Berkongsi Ilmu bersama-sama Cikgu Amran

Jumaat, 14 Oktober 2011

Jujur untuk melaksanakan...

Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan, Bahasa Jiwa Bangsa, dan pelbagai lagi slogan yang akan menghiasi dada-dada akhbar, majalah mahupun kata-kata yang keluar daripada pelbagai lapis golongan masyarakat. Di kedai, sekolah, pejabat mahupun di lobi-lobi parlimen akan memperkatakan tentang bahasa Melayu. Kata-kata kita, perjuangan kita agaknya bermusim tidak seperti pokok durian atau pokok rambutan yang tidak ada musimnya lagi. Sepanjang tahun kita menikmati kenikmatan buah ini. Diseluruh pelusok negeri pasti ada. Kalau isteri mengidam nak makan rambutan, suami tidaklah perlu risau. Pasti ada walaupun agak mahal. Jika kita memperkatakan tentang bahasa Melayu, tunggulah bulan-bulan tertentu. Barulah kita berkata-kata. Jika kita ingin melihat bahasa Melayu terus unggul teruskanlah perjuangan........ . Bukan hanya slogan tapi dengan tindakan. Cuma tindakan haruslah dimulakan dengan diri sendiri..... . Janganlah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul!

Selasa, 2 Ogos 2011

Strategi Melakar Kejayaan

Untuk mencapai kejayaan, strategi perlu. Umpama bermain bola sepak kekuatan sesuatu pasukan perlu dengan strategi yang betul. Strategi yang dicorakkan oleh jurulatih. Begitu juga dalam mencapai kejayaan dalam peperiksaan, strategi guru juga penting dalam mencapai kejayaan. Tambahan dalam bulan yang penuh dengan barakh ini. Inilah masanya untuk mencongak berapa orang murid yang perlu disasarkan. Ini adalah strategi yang terakhir. Lihat dan kaji kelemahan setiap murid. Pasang strategi, laksanakan, InsyaAllah akan berjaya. Sarategi itu telah ada tetapi sukar untuk dinyatakan........

Selasa, 19 Julai 2011

Kuasa Karisma

Anda berkarisma? Kuasa peribadi yang hebat ialah karisma. Kuasa yang luar biasa. dengan menggunakan kuasa karisma, seseorang itu boleh mendorong orang lain untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku mereka sama ada positif atau pun negatif. Hanya dengan melihat wajah dan penampilan sahaja, orang sudah terpengaruh, apatah lagi apabila mendengar kata-kata yang diucapkannya. Karisma bukanlah anugerah Tuhan sejak lahir tetapi boleh diperolehi dan dipertingkatkan. Tidak mustahil akan hilang. Sebagai seorang guru kita perlu berkarisma dan mempertingkatkan karisma kita demi tugas. Dengan mempunyai karisma kita mampu memimpin anak didik kita ke arah yang positif. Kepakaran adalah unsur yang penting dalam karisma. Apabila murid yakin kepakaran kita maka mudah untuk mereka percaya, tidak meragui pandangan dan nasihat yang diberikan.

Ahad, 29 Mei 2011

Minda Kita Payung Terjun.

Minda kita umpama payung terjun. Perlu dibuka untuk dikembangkan agar dapat terbang bebas diangkasa. Kita perlu memandang dengan minda yang berkembang agar segala pemandangan kita jelas seperti mana terapung-apungnya kita diudara menikmati alam yang tebentang luas. Pandangan yang penuh keinsafan tentang kejadian alam ini. Sebagai seorang guru minda kita juga seharusnya seperti payung terjun yang berkembang dan dapat membantu membawa kehaluan yang ingin dituju.

Rabu, 25 Mei 2011

Mulakan hari dengan senyuman

Bermula dari hari ini, setiap kali bangun pagi mulakan dengan seyuman untuk diri sendiri, kemudian barulah kepada orang lain. Senyum tanda syukur pada nikmat Allah. Jadikan senyum dan pujian perkara penting yang sentiasa berada di bibir mulut. Senyum adalah sedekah paling mudah diberi kepada orang, tidak perlu modal dan murah. Senyum membeli hati semua orang, mencerminkan kejernihan hati. Kita senyumlahlah ibarat bayi, kerana semua orang suka jika bayi tersenyum. Sebagai seorang guru apabila kita mengajar suasana yang gembira, banyak senyuman maka murid akan lebih cepat belajar. Senyuman adalah terapi minda untuk memulakan hari yang baik. Begitu juga sebagai ketua jabatan, senyumlah, kerana senyuman itu akan memotivasikan pekerjanya.....

Sabtu, 21 Mei 2011

Lima Perkataan Membina Keyakinan

Bagi setiap orang, pasti ada sesuatu atau seseorang yang menjadi pendorong kejayaannya. Untuk berjaya bukan sahaja dorongan tetapi keyakinan diri untuk terus belajar dalam mencapai impian hidup. Kita mungkin dihalang perasaan takut, kurang keinginan atau kepercayaan bahawa kita mempunyai kemampuan. Semua ini sebenarnya menyekat untuk kita terus berjaya. Berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Kita sering berkata bahawa kita mempunyai kekurangan diri, kekurangan dalam segala hal berbanding dengan orang lain. Tapi adakah kita telah mencuba. Kita sebenarnya dihalang oleh perasaan keyakinan diri. Dengan kesabaran, kesungguhan dan doa, lama kelamaan, impian pasti menjadi kenyataan. Oleh itu mulai hari katakan pada diri" AKU MESTI MULA MENGUBAH HIDUP."

Selasa, 17 Mei 2011

Indah Budi kerana Bahasa

Bahasa dapat dibahagikan kepada tiga tingkat utama, iaitu bahasa halus, bahasa kasar, dan bahasa kesat. bahasa halus ialah bahasa yang digunakan dengan penuh hormat, sopan santun dan beradap. Bahasa kasar pula ialah bahasa yang tidak sopan dan tidak manis dituturkan atau digunakan. Bahasa ini hanya boleh digunakan dalam situasi yang tertentu, seperti semasa berhubungan antara dua atau lebih teman karib dan setaraf, serta dalam suasana tidak rasmi, bersifat peribadi, dan tanpa kehadiran pihak atau orang ketiga. Bahasa kesat pula ialah bahasa yang paling rendah yang tidakboleh digunakan sama sekali, baik dalam situasi tidak rasmi mahupun rasmi. Bahasa ini apabila digunakan, sangatlah menyakitkan hati apabila mendengarnya. Biasanya, bahasa ini digunakan oleh orang yang sedang marah dan tidak dapat mengawal perasaannya, serta untuk menghina seseorang. Oleh itu kita haruslah menonjolkan ketinggian budi bahasa dan kehalusan penggunaaan bahasa kerana indah budi kerana bahasa.